Gabungan dua ahli MDB bakal terajui BDFA

Posted on 10 Jan 2021
Source of News: Utusan Sarawak

BETONG: Gabungan dua ahli Majlis Daerah Betong (MDB) bakal menjadi peneraju dalam badan induk Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA) bagi tempoh akan datang.

Presidennya, Abang Soehardie Abang Zaini berkata pentadbiran BDFA perlu pengganti Timbalan Presiden setelah jawatan sama diduduki Diana Michael Gawan dalam pemilihan lalu mengundur diri berikutan kekangan kerja.

Katanya, pemilihan Horace Entoi merupakan penambahbaikan pentadbiran seterusnya melengkapkan organisasi persatuan  menjadi harapan BDFA terus maju ke hadapan.

"Semua ahli bersetuju dan menerima pelantikan Horace memegang jawatan itu tanpa pengundian pemilihan.

"Saya percaya dengan pengalaman dan kesungguhan kepimpinan beliau boleh menjadi rujukan dengan idea-idea baharu membawa pengurusan BDFA disegani peringkat lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung keputusan Mesyuarat BDFA Sesi 1/2021 berlangsung di sini kelmarin.

Tambahnya, banyak program dirancang dan dianjurkan BDFA setelah sepanjang 2020 tidak dapat melaksanakan aktiviti.

"Bagaimanapun, kita terpaksa akur dengan keadaan semasa  memaksa kita menangguhkan semua aktiviti.

"Apapun perancangan awal aktiviti 2021 masih ditangguh dan menunggu keputusan kerajaan mengenai pandemik COVID-19," jelasnya.

Menurutnya, mesyuarat juga menyentuh berhubung persiapan kejohanan Liga Betong dan Piala Timbalan Ketua Menteri (TKM).

Katanya, BDFA juga mengambil kira kedudukan kewangan persatuan bagi melicinkan pelaksanaan pelbagai program.

"Kita mengadakan perbincangan bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebelum menentukan tarikh pelaksanaan dalam masa terdekat," katanya.

Sumber: Utusan Borneo