Latar Belakang Sejarah




 

Majlis Daerah Betong merupakan sebuah Pihak Berkuasa Tempatan yang terawal ditubuhkan di Sarawak. Pada awalnya, ia dikenali sebagai Saribas Dayak Local Authority dan mula beroperasi pada 1 Januari 1948 dengan pejabat pertamanya menumpang di sebuah bangunan kerajaan di suatu tempat yang dikenali sebagai "Pun Embawang". Kawasan ini terletak di tebing Sungai Layar berdekatan dengan Kubu Lili, Betong.

 

Pada 1 Januari 1957, Saribas Dayak Local Authority bertukar corak pentadbiran kepada Mixed Local Authority yang dianggap lebih sesuai sebagai melambangkan pelbagai kaum yang mendiami daerah ini. Pengerusi Pertama Mixed Local Authority adalah Temenggong Datuk Bernanrd Montegrai ak Tugang. Kemudian Majlis ini sekali lagi bertukar nama kepada Majlis Daerah Saribas. Pada 17 Mac 1959, pejabat Majlis kemudian berpindah ke Dewan Brooke Betong. Sepuluh tahun kemudian, iaitu 26 Jun 1969, Majlis Daerah Saribas sekali lagi berpindah buat kali ketiga ke pejabat baru di bangunan satu tingkat di Jalan Datuk Montegrai. Bangunan ini sekarang dikenali sebagai Pusat Giat Mara Betong.

 

Pada 1 Januari 1991, sekali lagi Majlis ini bertukar nama iaitu kepada Majlis Daerah Betong. Pada 26 September 1993, Majlis telah berpindah buat kali keempatnya ke pejabat baru di sebuah kubu bangunan yang dibina di tapak lama Kubu Rentap. Bangunan ini dikenali sebagai Bangunan Kubu Rentap sehingga ke hari ini.

 

Majlis Daerah Betong melaksanakan kuasa untuk mentadbir kawasan-kawasan di bawah jagaannya menurut kuasa undang-undang yang termaktub di bawah "Local Authorities Ordinance" dan undang-undang lain berkaitan serta Undang-Undang Kecil Majlis Tempatan "(Council By-Laws)" yang digubal dan termaktub dalam Ordinan yang sama. Daerah Betong mempunyai keluasan sebanyak 2520.89Km Persegi :-

(i) Betong - 725.00 Sq.km
(ii) Spaoh - 529.18 Sq.km
(iii) Debak - 292.15 Sq.km
(iv) Pusa - 362.47 Sq.km
(v) Maludam - 584.89 Sq.km

Penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum telah merangkumi sebanyak 64,127 orang. Kaum Melayu merupakan kaum terbesar di daerah Betong iaitu sebanyak 35,204 orang dan diikuti oleh kaum Iban sebanyak 24,010 orang dan Cina sebanyak 4,913 orang.