Makam Dayang Isah Tandang Sari
Makam Dayang Isah Tandang Sari terletak di tanah perkuburan Kampung Kalok, Pusa kira-kira 150 kilometer dari Sibu dan 90 kilometer dari Betong. Makam inilah yang menjadi bukti wujudnya lagenda disini dan terdapat kisah yang sangat menarik disebaliknya.
Dayang Isah merupakan puteri Datuk Temenggung Kadir dan Dayang Siti Hajar. Kononnya, Dayang Isah dikatakan berasal dari sebiji telur yang dijumpai oleh bapanya dalam sebatang buluh. Kawasan pimpinan Datuk Temenggung Kadir terletak di Tandang Sari, Saribas yang kini dikenali sebagai Daerah Kecil Pusa, di dalam pentadbiran Bahagian Betong.
Pada suatu ketika dahulu, dikhabarkan bahawa 10 kati emas diletakkan sebagai syarat untuk berkahwin dengan Dayang Isah dan ia menyebabkan Abang Bunut, kekasih Dayang Isah terpaksa mengundur diri. Kemudian, Dayang Isah dikahwinkan dengan Nakhoda Khar dari Bugis tetapi Dayang Isah tidak bahagia.
Nakhoda Khar cemburu apabila mendapati isterinya mencintai Abang Bunut. Maka nakhoda tersebut lalu bertindak membunuh lelaki itu dengan kerisnya. Apabila Abang Bunut mati, Dayang Isah menyedari bahawa kecantikannya yang menjadi punca masalah dan cuba membunuh diri tetapi tidak berjaya.
Akhirnya, Dayang Isah menjerut diri dengan 7 urat rambutnya sendiri sehingga mati. Nakhoda Khar pula mati dibunuh oleh Datuk Temenggung sebagai menuntut bela atas kematian Abang Bunut. Makam Dayang Isah pada masa kini masih ada di Kampung Kalok, Pusa.
Baca Selanjutnya:
1. Kisah Lagenda Dayang Isah Tandang Sari - Utusan Borneo
2. Dayang Isah Tandang Sari jadi mangsa kecantikannya sendiri - mStar
Lokasi: Makam Dayang Isah