Pelaksanaan Audit Scorecard Pentadbiran Awam Negeri Sarawak Tahun 2026

Posted on 08 Jul 2026
Source of News: Majlis Daerah Betong



BETONG, 8 Julai 2026 – Majlis Daerah Betong (MDB) telah menerima kunjungan pasukan juruaudit bagi pelaksanaan Audit Scorecard Pentadbiran Awam Negeri Sarawak Tahun 2026 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Majlis Daerah Betong.

Audit ini bertujuan menilai tahap pelaksanaan Sistem Scorecard organisasi, khususnya dari aspek penjajaran objektif strategik, petunjuk prestasi utama (KPI), pemantauan pencapaian, pengurusan data serta keberkesanan pelaksanaan inisiatif yang menyokong penyampaian perkhidmatan awam Negeri Sarawak. Pelaksanaan audit ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh tadbir urus, akauntabiliti dan budaya kerja berprestasi tinggi dalam perkhidmatan awam negeri.

Sepanjang sesi audit, setiap bahagian telah membentangkan pencapaian prestasi, dokumen sokongan serta bukti pelaksanaan bagi indikator yang telah ditetapkan. Pasukan juruaudit turut memberikan pandangan, cadangan penambahbaikan dan maklum balas bagi memastikan pelaksanaan Scorecard sentiasa selaras dengan keperluan pengurusan prestasi dan amalan terbaik.

Majlis Daerah Betong merakamkan penghargaan kepada semua warga kerja yang telah memberikan kerjasama serta komitmen tinggi dalam menyediakan dokumen dan maklumat sepanjang proses audit dijalankan. Kerjasama ini mencerminkan kesungguhan organisasi dalam memastikan sistem pengurusan prestasi dilaksanakan secara sistematik, telus dan berkesan.

Diharapkan hasil audit ini akan menjadi pemangkin kepada penambahbaikan berterusan dalam penyampaian perkhidmatan, sekali gus memperkukuh kecemerlangan Majlis Daerah Betong sebagai sebuah pihak berkuasa tempatan yang berprestasi tinggi dan berorientasikan perkhidmatan kepada rakyat.