MDB Edar 300 Pek Bubur Lambuk Semarakkan Ramadan Di Betong

Disiarkan pada 17 Mar 2026
Sumber Berita: MDB Edar 300 Pek Bubur Lambuk Semarakkan Ramadan Di Betong
MDB Edar 300 Pek Bubur Lambuk Semarakkan Ramadan Di Betong
BETONG: Suasana di Bazaar Ramadan Betong petang Isnin bertambah meriah apabila Majlis Daerah Betong (MDB) mengedarkan sebanyak 300 pek bubur lambuk kepada orang ramai menerusi penganjuran Program Jerayawara Bubur Lambuk.
Program yang disertai kira-kira 30 peserta terdiri daripada ahli majlis serta warga kerja MDB itu turut disertai Ahli Parlimen Betong merangkap Pengerusi Majlis Daerah Betong, Dato Dr Richard Rapu yang mengetuai pengagihan bubur lambuk kepada peniaga dan pengunjung bazar.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Betong, Kaunselor Horace Entoi serta barisan Ahli Majlis MDB.
Dalam program tersebut, Dato Dr Richard bersama ahli majlis dan kakitangan MDB meluangkan masa beramah mesra dengan orang ramai sambil mengagihkan bubur lambuk kepada peniaga serta pengunjung yang hadir.
Penganjuran program itu merupakan antara inisiatif MDB dalam menyemarakkan bulan Ramadan di samping menzahirkan keprihatinan pihak berkuasa tempatan melalui aktiviti perkongsian rezeki bersama masyarakat.
Selain itu, program berkenaan turut menjadi platform memperkukuh semangat kebersamaan dan muafakat antara pemimpin serta komuniti setempat selaras dengan nilai murni yang dituntut sepanjang Ramadan.-EDISI UKAS


Berita penuh boleh didapati di pautan EDISI UKAS berikut : https://ukas.sarawak.gov.my/web/subpage/news_view/36424
#UKASnews
#SaluranInformasiRakyat
#SarawakMajuMakmur