Lonjak Pembangunan Betong Seiring Aspirasi 2030

Disiarkan pada 17 Mar 2026
Sumber Berita: Lonjak Pembangunan Betong Seiring Aspirasi 2030
BETONG: Daerah Betong perlu melakukan anjakan menyeluruh dalam aspek pembangunan, ekonomi dan pemikiran masyarakat bagi memastikan kawasan itu berkembang sebagai bandar yang lebih terancang, progresif dan berdaya huni menjelang tahun 2030.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, tempoh menuju 2030 kini semakin singkat dan menuntut perancangan yang lebih strategik serta berfokus.

“Tempoh menuju 2030 kini berbaki kira-kira 1,300 hari lagi. Justeru, semua pihak perlu memanfaatkan masa yang ada untuk memperkukuh perancangan pembangunan daerah secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Penuh Majlis Daerah Betong (MDB) Bilangan 1 Tahun 2026 di Majlis Daerah Betong, pada Isnin.

Datuk Gerald menambah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga memainkan peranan penting dalam memastikan Betong berkembang sebagai bandar yang terancang, bersih serta selesa untuk didiami dan dikunjungi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Betong bakal menjadi tumpuan beberapa acara utama dalam tempoh terdekat, termasuk Regatta Betong pada April, Karnival Gawai sepanjang Mei, Perarakan Gawai dan Rumah Terbuka Gawai anjuran Sarawak Tourism Federation serta Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Peringkat Sarawak pada Jun.

Sementara itu, Ahli Parlimen Betong merangkap Pengerusi Majlis Daerah Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, mesyuarat tersebut menjadi platform penting untuk membincangkan perkembangan semasa serta pelaksanaan projek pembangunan di kawasan DUN Layar.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Betong, Kaunselor Horace Entoi, Setiausaha Majlis Daerah Betong, Lister Clement Guwie serta ahli-ahli majlis. —EDISI UKAS

Berita penuh boleh didapati di pautan EDISI UKAS berikut : https://ukas.sarawak.gov.my/web/subpage/news_view/36420
#UKASnews
#SaluranInformasiRakyat
#SarawakMajuMakmur