Jangan pertikaikan keakraban, ukhuwah setiap kaum: Rentap

Posted on 18 Mar 2024
Source of News: Utusan Borneo

Rentap bersama barisan penerima pada majlis tersebut di Betong semalam.
Galeri Gambar

BETONG, 18 MAC:  BETONG: Jangan pertikaikan keakraban dan ukhuwah setiap kaum di sini dalam membentuk perpaduan masyarakat yang saling membantu dalam merealisasikan apa juga program dan aktiviti bersama.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu menyeru setiap kaum di negeri ini terus mengamalkan perpaduan kaum seperti yang wujud sejak sekian lama. 

"Tiada siapa dapat mempertikaikan keharmonian menjadi amalan masyarakat berbilang kaum di negeri ini terutama masyarakat kita di Betong ini yang mementingkan perpaduan. 

"Kita amat bertuah kerana ketiga-tiga kaum di sini sentiasa bersatu dalam apa juga penglibatan aktiviti dianjurkan lebih-lebih lagi pada musim perayaan. 
 

"Umpamanya penganjuran Bazar Ramadan Betong memberi impak positif kepada masyarakat setempat berniaga di mana pelanggan mereka bukan sahaja kalangan masyarakat Islam malah kaum-kaum lain turut mengambil kesempatan membeli juadah dijual tanpa khuatir," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis ringkas penyampaian cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa 1/2024 kepada Masjid, Surau dan JKKK Kampung Melayu di Dewan Al Husna Masjid Jamek Betong di sini semalam. 

Sebanyak enam kampung Melayu di sini menerima sumbangan dana untuk JKKK, masjid dan surau masing-masing termasuk Jawatankuasa Kebajikan Kampung Melayu Betong berjumlah keseluruhan RM140,000 menerusi dana MRP ADUN Layar itu. 

Rentap berkata, dengan adanya kerjasama dan semangat perpaduan kaum kerajaan dapat merencana pembangunan secara menyeluruh. 

"Jika tiada kerjasama daripada semua pihak, ia akan merencatkan kemajuan dan perancangan pembangunan dalam kawasan kampung kita di sini.