KMKK boleh melaporkan salah laku ADUN di kawasan mereka

Posted on 12 Mar 2024
Source of News: Utusan Borneo

Gambar Datuk Abdullah Saidol Sumber Utusan Borneo
Galeri Gambar

KUCHING, 12 MAC:   KUCHING: Ketua kampung dan ketua kaum (KMKK) mempunyai kuasa penuh untuk melaporkan dengan segera sebarang salah laku oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan mereka, kata Datuk Abdullah Saidol.
 

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) itu menggesa KMKK khususnya di kawasan luar bandar supaya peka sekiranya ADUN di kawasan masing-masing tidak menjalankan tanggungkawab diamanahkan. 

“Mereka (KMKK) boleh memaklumkan (kepada) Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak untuk menyiasat (sebarang) keputusan, tindakan atau tingkah laku ADUN,” kata Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selesai melancarkan Jelajah Penerangan dan Penjelasan Isu-isu Semasa anjuran UKAS dan Pustaka Negeri Sarawak di sini hari ini.
 

Abdullah juga menegaskan bahawa orang ramai mesti sedar akan hak mereka dalam melaporkan sebarang keraguan penjawat awam termasuk ADUN.

“Bagaimanapun, jangan membuat aduan yang didorong emosi, berunsur fitnah dan seumpamanya. Ini boleh menjejaskan reputasi individu yang disasarkan.

“Jika ingin membuat aduan, pastikan fakta (dikemukakan) adalah tepat dan bukannya hasil syakwasangka mahupun fitnah yang tidak berasas,” tegas Abdullah.

Beliau menambah, kerajaan negeri memperkenalkan undang-undang ombudsman susulan 70 peratus daripada RM12 bilion diperuntukkan untuk pembangunan fizikal dan infrastruktur.

“Pembangunan ini sudah semestinya akan melibatkan pelbagai agensi, badan pelaksana dan kontraktor.
 

“Justeru, bagi mengelakkan salah laku dan memastikan peruntukan ini digunakan sepenuhnya untuk pembangunan, saya rasa amat adil dan bijak bagi kerajaan memperkenalkan undang-undang ombudsman untuk menjaga integriti, ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.

Beliau juga berhadap menerusi undang-undang tersebut, tiada lagi berlaku penyalahgunaan kuasa dan pengaruh. 

”Baru-baru ini kita mendengar mengenai kes seorang pegawai kerajaan yang dituduh menyalahgunakan wang jabatan berjumlah RM10 hingga 15 juta sedangkan ia sepatutnya diagihkan kepada rakyat. Kita tidak mahu perkara ini berlaku.

“Kita (juga) tidak menyalahkan orang ramai yang mempunyai persepsi negatif terhadap ahli politik kerana kita tahu ada wakil rakyat berperangai agak tidak baik.

”Malah, ada juga wakil rakyat jujur dan ikhlas menjalankan tugas dengan tekun tetapi menjadi mangsa akibat rakan sekerja yang tidak bertanggungjawab,” keluhnya.

Tarikh penguatkuasaan bagi undang-undang ombudsman masih belum dapat dipastikan dengan unit itu masih dalam proses pemuktamadan.

"Namun ini tidak mengecualikan sesiapa daripada memfailkan aduan. Masyarakat masih boleh membuat aduan dengan Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak, termasuk pegawai daripada SPRM yang ditugaskan di sana," kata Abdullah.