Pertahan prinsip, etika agar bebas rasuah

Posted on 01 Mar 2018
Source of News: Utusan Sarawak

Penjawat awam harus bersifat amanah, telus, bertanggungjawab

 

BETONG: Sifat amanah, telus, bertanggungjawab dan berhemah tinggi dalam kalangan penjawat awam dituntut bagi mengelak terjerumus dalam gejala rasuah.

Pegawai Daerah Betong Sofhi Jebal berkata, perkhidmatan berkualiti yang ditunjukkan penjawat awam dalam tugas harian memberi impak positif kepada seluruh agensi.

Integriti dan etika dalam pekerjaan, selain sikap toleransi yang tinggi memainkan peranan penting untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Bukan sekadar melibatkan kepentingan individu untuk menyediakan keperluan diri, malah melibatkan tindakan baik dalam pekerjaan dan etika kerja yang wajib dipatuhi semua kakitangan awam,” katanya.

Belia berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Ikrar Bebas Rasuah Peringkat Majlis Daerah Betong di pejabat Majlis Daerah Betong (MDB) di sini, kelmarin.

Sofhi yang juga pengerusi MDB menegaskan bahawa banyak kepentingan diri yang wajib dilaksanakan dengan tindakan jujur dan amanah bagi mengelakkan penyelewengan dalam urusan bersama pelanggan terutama masyarakat sekeliling.

Mempertahankan prinsip serta keyakinan diri dapat menjamin perkhidmatan berkualiti, sekali gus melahirkan individu yang bebas rasuah dan tegas dalam segala urusan,” tambahnya.

Seramai 31 ahli MDB dan 59 kakitangan MDB menyertai lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai Sofhi.

Turut diadakan majlis menandatangani surat perjanjian bebas rasuah di hadapan pegawai SPRM.

Hadir sama Timbalan Pengerusi MDB Kaunselor Mohammad Rajuna Omar, Setiausaha MDB Charlie Keling, Penguasa Kanan SPRM Sibu Rasimah Asdari dan Penolong Kanan Penguasa SPRM Badli Shah Shamin serta ahli MDB.

Sumber: Utusan Sarawak