BETONG: Tiada bayaran dikenakan kepada semua penjaja dan peniaga di Pasar Tamu Betong yang baharu hingga penghujung tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Gerald Rentap Jabu memberitahu, pengoperasian Pasar Tamu Betong baharu sejak seminggu lalu merancakkan perancangan pembangunan serta kemudahan yang lebih teratur untuk masyarakat di Betong.
“Dengan adanya pusat penjaja baharu ini, diharapkan para penjaja akan menikmati kemudahan dan menambah hasil jualan masing-masing untuk dipasarkan dan tidak lagi bergelut dengan masalah tapak jualan yang tidak teratur.
“Pada masa yang sama pengunjung juga lebih selesa untuk berurusan dengan penjaja bagi mendapatkan keperluan harian masing-masing,” katanya semasa program turun padang di Pasar Tamu Betong dekat sini, kelmarin.
Turut sama ialah Pegawai Daerah Betong Sofhi Kenal, Setiausaha Majlis Daerah Betong Charlie Keling dan ahli Majlis Daerah Betong.
Rentap turut berkesempatan menyantuni dan beramah mesra dengan para peniaga, penjaja dan pengunjung serta mendengar permasalahan yang dibangkitkan mereka.
“Kita telah mendengar beberapa isu dan masalah yang telah diketengahkan penjaja.
“Oleh itu kita akan berbincang dan mengambil maklum akan isu-isu yang dibangkitkan ini untuk kita sama-sama selesaikan secara lebih teratur demi memberi kepuasan kepada semua pihak.
“Bagaimanapun kita akan sentiasa berusaha menyediakan kemudahan kepada semua rakyat di sini,” ujarnya.
“Untuk pengetahuan juga, pihak majlis tidak mengenakan apa-apa bayaran kepada semua penjaja hingga penghujung tahun ini.
“Pada masa yang sama kita akan memastikan penambahbaikan yang lebih memberi keselesaan kepada semua pihak,” tambahnya.
Pengoperasian Pasar Tamu Betong yang baru sahaja berpindah dari lokasi lama sejak 1 Ogos lalu berjaya mengumpul sekitar 150 penjaja pada hari biasa dengan jumlah 96 peniaga di dalam bangunan dan selebihnya beroperasi menggunakan kanopi di luar bangunan.
Majlis Daerah Betong (MDB) juga memaklumkan bahawa pada hujung minggu, jumlah peniaga dan penjaja ini akan bertambah sehingga mencecah 200 orang.
Sementara itu, tinjauan Utusan Borneo mendapati pematuhan prosedur ope-rasi standard (SOP) yang berkuat kuasa seperti yang telah digariskan MDB se-perti kaunter saringan dan pendaftaran pengunjung di pintu masuk sama ada secara bertulis ataupun menggunakan aplikasi My-Sejahtera.
Pada masa yang sama, kehadiran Rentap dilihat begitu disenangi masyarakat sekitar walaupun dilakukan dalam norma baharu penjarakan fizikal satu meter dan tanpa amalan bersalaman yang masih tampak janggal.
Para pengunjung atau pe-niaga dan penjaja yang ditemui turut menyatakan suasana di Pasar Tamu Betong yang baharu ini memberikan keselesaan dengan ruang lebih luas, pengudaraan lebih baik dan mampu menempatkan lebih ramai peniaga berbanding pasar tamu lama.