Betong jadi Majlis Perbandaran menjelang 2030

Posted on 18 Jul 2020
Source of News: Utusan Sarawak

 

BETONG: Usaha menjadikan daerah Betong sebagai majlis perbandaran dijangka dapat direalisasikan menjelang tahun 2030, sejajar pembangunan pesat daerah berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu berkata untuk ke arah itu, daerah Betong perlu bersedia menjelang tahun 2030 dengan Majlis Daerah Betong (MDB), menjadi Majlis Perbandaran Betong

Beliau berkata setakat ini daerah Betong  yang merangkumi daerah kecil Spaoh, daerah kecil Debak, daerah kecil Pusa dan daerah kecil Maludam, itu mempunyai seramai hampir 70,000 penduduk hanya berstatus Majlis Daerah.

“Bagi mencapai status Majlis Perbandaran, daerah ini perlu mempunyai seramai 150,000 penduduk dan sasaran itu mampu dicapai menjelang tahun 2030.

“Saya yakin, menjelang tahun 2030, daerah ini mampu bertukar status Majlis Daerah kepada Majlis Perbandaran dengan pertambahan penduduk berikutan banyaknya projek perumahan baharu, mempelawa kemasukan kampus universiti, produk pelancongan, perniagaan, perhotelan serta membawa masuk pelabur asing ke daerah ini, sekaligus menambah banyak peluang pekerjaan kepada penduduk,” katanya pada Mesyuarat Penuh Kedua Ahli-Ahli Majlis MDB dekat sini semalam.

Menjelas lanjut, Rentap berkata pertambahan penduduk turut dapat meningkatkan hasil pendapatan Majlis Daerah itu, dan untuk mendapat status Majlis Perbandaran hasil yang diperlukan adalah sebanyak RM20 juta setahun.

“Aspirasi kita untuk menjadikan Majlis Perbandaran Betong menjelang tahun 2030, akan menjadi kenyataan jika usaha menyeluruh dilakukan daripada semua pihak bermula daripada rakyat, wakil-wakil rakyat, agensi-agensi, termasuk badan- badan korporat yang memajukan daerah ini dari segi pertambahan dan pembangunan infrastruktur,” ujarnya.

Rentap menambah, antara kelebihan apabila Betong dinaik taraf menjadi majlis perbandaran ialah pentadbirannya akan menjadi lebih cekap dan berkesan kerana keputusan boleh dibuat dengan pantas.

Sumber: Utusan Sarawak